Sesi Pembentangan dan Penilaian Anugerah Teknologi Maklumat (ATM) 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 13 dan 15 Mei 2026 di Bangunan D07, Pejabat Kualiti & Transformasi Digital (UTMDIGITAL), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anugerah Teknologi Maklumat (ATM) merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan bagi mengiktiraf fakulti dan jabatan yang membudayakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta melaksanakan transformasi digital secara inovatif dalam memperkukuh kualiti pengurusan, penyampaian perkhidmatan dan kecemerlangan organisasi di UTM.

Sepanjang sesi penilaian, fakulti dan jabatan yang bertanding telah membentangkan pelbagai inisiatif pendigitalan yang merangkumi pembangunan sistem dan aplikasi, penambahbaikan proses kerja, automasi perkhidmatan, tadbir urus digital, keselamatan maklumat serta pelaksanaan amalan terbaik yang menyokong agenda transformasi digital universiti.

Panel penilai yang terdiri daripada pakar dalam bidang teknologi maklumat, pengurusan digital dan tadbir urus telah menilai setiap pembentangan berdasarkan kriteria yang ditetapkan, termasuk impak pelaksanaan, inovasi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan, kebolehgunaan penyelesaian digital serta potensi penambahbaikan secara berterusan.

Penganjuran ATM diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan inovasi digital dalam kalangan warga universiti, di samping menggalakkan perkongsian amalan terbaik dan memperkukuh ekosistem transformasi digital yang mampan selaras dengan aspirasi UTM ke arah sebuah universiti digital bertaraf global.

Tahniah diucapkan kepada semua fakulti dan jabatan yang telah mengambil bahagian serta menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan pendigitalan demi meningkatkan kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan universiti.

UTM Open Day