4 Ogos 2026 – Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX) baru-baru ini menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dalam satu Sesi Ramah Mesra yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama UTMDX, UTM Johor Bahru. Sesi ini turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Kualiti & Transformasi Digital) UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, bersama barisan pengurusan kanan UTMDX.
Pertemuan strategik ini bertujuan untuk menyelaras aspirasi kepimpinan universiti dengan hala tuju transformasi digital yang diterajui oleh UTMDX. Fokus utama perbincangan tertumpu kepada penilaian pencapaian projek sehingga suku kedua tahun 2026 serta perancangan strategik masa hadapan bagi tiga pusat utama di bawah seliaan UTMDX iaitu Pusat Penyelesaian Digital (CDS), Pusat Infrastruktur Digital (CDI), dan Pusat Kualiti & Transformasi Perkhidmatan (CSQ).
Dalam sesi tersebut, Naib Canselor memberikan penekanan dan keutamaan terhadap transformasi proses kerja Universiti melalui pengoptimuman sistem digital serta pemanfaatan kecerdasan buatan (AI). Usaha ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan pertindihan sistem, sekali gus mewujudkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berorientasikan pengguna.
Sesi pembentangan telah menyentuh aspek pengukuhan bakat serta keperluan bagi memacu penambahbaikan operasi yang lebih mampan. Selain itu, perbincangan merangkumi pelan hala tuju pemodenan infrastruktur digital universiti serta pembangunan Enterprise Architecture (EA) UTM bagi memastikan ekosistem digital yang lebih efisien dan bersepadu. Cabaran-cabaran semasa yang dihadapi serta cadangan penyelesaian yang proaktif turut diketengahkan bagi memastikan agenda transformasi digital UTM kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Pihak UTMDX menyambut baik aspirasi yang dikongsikan oleh Naib Canselor, yang menjadi dorongan utama untuk terus komited dalam menginovasi penyelesaian lestari. Pertemuan ini mencerminkan iltizam UTMDX untuk menjadi pemangkin kepada transformasi digital universiti, sekali gus memastikan UTM berada di kedudukan yang kompetitif dalam mendepani cabaran transformasi digital global.
Related Articles
UTMDX Laksana UAT Sistem CCTV dan ANPR Bersama Bahagian Keselamatan
Satu lagi pencapaian penting dilakarkan oleh pasukan teknikal UTMDX apabila fasa User Acceptance Test (UAT) bagi sistem pemantauan CCTV dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) di pintu masuk utama kampus telah berjaya disempurnakan baru-baru ini.
Fasa pengujian di lapangan ini merupakan proses teknikal yang sangat kritikal bagi UTMDX untuk menilai prestasi operasi yang sebenar.
Pelantikan YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) UTM
Seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Teknologi Malaysia yang baharu.
Pelantikan strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UTM dalam menyokong inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).
Sesi Demo Sistem Kaunseling Fasa II Mantapkan Persediaan Sebelum Pengujian UAT
Sistem Pengurusan Kaunseling Fasa II yang dibangunkan tahun ini merangkumi modul Kes Rujukan, Perkhidmatan Tambahan, Perkhidmatan Klien Komuniti dan beberapa penambahbaikan pada modul sedia ada serta analitik data kesihatan mental yang selamat dan berkerahsiaan tinggi bagi memudahkan pemantauan serta perkhidmatan sokongan pelajar mahupun staf.



