SKUDAI, 17 September — Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX) telah menerima kunjungan seramai tujuh orang delegasi daripada Pejabat Ketua Pegawai Digital (Pejabat CDO) dan Pusat Pembelajaran Terbuka & Jarak Jauh (CODL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi satu sesi lawatan kerja bertempat di UTMDX. Sesi yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini diadakan bertujuan mendapatkan pendedahan serta perkongsian amalan terbaik berkaitan aspek teknikal pelaksanaan pembelajaran dalam talian (online learning) yang diguna pakai di UTM.
Delegasi UTeM dipimpin oleh Prof. Ir. Dr. Gan Chin Kim, Pengarah Centre for Open and Distance Learning (CODL), serta Puan Norhazlena Binti Sabtu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi. Sesi pertemuan dimulakan dengan ketibaan delegasi berpakaian korporat yang disusuli dengan sesi bergambar, sebelum diteruskan dengan ucapan aluan daripada Pro-Naib Canselor UTMDX. Menerusi lawatan ini, UTeM berhasrat memperkukuh pengurusan serta pelaksanaan ekosistem pembelajaran digital di institusi mereka agar lebih berkesan, terutamanya dari sudut penyediaan infrastruktur dan sumber sokongan.

Sesi perkongsian maklumat yang berlangsung selama dua jam memfokuskan secara terperinci kepada seni bina sistem pengurusan pembelajaran uLearn (uLearn LMS Architecture) merangkumi struktur 3-tier, persekitaran Hybrid, serta penyelesaian On-Premise. Delegasi UTeM turut didedahkan dengan strategi pengurusan trafik dan keboleharapan sistem menerusi penggunaan Load Balancer dan pengelompokan pangkalan data (Database Clustering), perbandingan seni bina pelayan fizikal berbanding maya (Physical vs Virtual), aspek keselamatan siber (Cybersecurity), serta pengurusan storan dan penahanan sandaran data (Storage & Backup retention).
Selain daripada skop teknikal dan infrastruktur, perbincangan ini turut memberi gambaran menyeluruh mengenai pengurusan ekosistem digital UTMDX yang disokong oleh tiga pusat utamanya iaitu Pusat Kualiti & Transformasi Perkhidmatan (CSQ), Pusat Penyelesaian Digital (CDS), dan Pusat Infrastruktur Digital (CDI). Sesi ini juga menyentuh persekitaran pembangunan sistem di UTMDX serta penerapan Enterprise Architecture (EA) sebagai kerangka asas penyelarasan strategi, data, dan teknologi universiti.
Melalui perkongsian amalan terbaik ini, lawatan kerja tersebut diharap dapat membantu UTeM memantapkan lagi ekosistem pembelajaran digital mereka di samping memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua universiti awam dalam memacu transformasi digital pendidikan tinggi.



Related Articles
Pelantikan YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) UTM
Seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Teknologi Malaysia yang baharu.
Pelantikan strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UTM dalam menyokong inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).
Sesi Demo Sistem Kaunseling Fasa II Mantapkan Persediaan Sebelum Pengujian UAT
Sistem Pengurusan Kaunseling Fasa II yang dibangunkan tahun ini merangkumi modul Kes Rujukan, Perkhidmatan Tambahan, Perkhidmatan Klien Komuniti dan beberapa penambahbaikan pada modul sedia ada serta analitik data kesihatan mental yang selamat dan berkerahsiaan tinggi bagi memudahkan pemantauan serta perkhidmatan sokongan pelajar mahupun staf.
Pemurnian Proses Kerja Utama UTM Pemangkin Pembangunan Enterprise Architecture (EA) Universiti
Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX) telah menganjurkan Bengkel Semakan Semula dan Pemurnian Proses Kerja Utama UTM bertempat di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari dari 17 hingga 18 September 2026 ini melibatkan kehadiran wakil-wakil daripada pelbagai Jabatan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di seluruh universiti.



