4 Ogos 2026 – Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX) baru-baru ini menerima kunjungan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dalam satu Sesi Ramah Mesra yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama UTMDX, UTM Johor Bahru. Sesi ini turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor (Kualiti & Transformasi Digital) UTM, YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, bersama barisan pengurusan kanan UTMDX.
Pertemuan strategik ini bertujuan untuk menyelaras aspirasi kepimpinan universiti dengan hala tuju transformasi digital yang diterajui oleh UTMDX. Fokus utama perbincangan tertumpu kepada penilaian pencapaian projek sehingga suku kedua tahun 2026 serta perancangan strategik masa hadapan bagi tiga pusat utama di bawah seliaan UTMDX iaitu Pusat Penyelesaian Digital (CDS), Pusat Infrastruktur Digital (CDI), dan Pusat Kualiti & Transformasi Perkhidmatan (CSQ).
Dalam sesi tersebut, Naib Canselor memberikan penekanan dan keutamaan terhadap transformasi proses kerja Universiti melalui pengoptimuman sistem digital serta pemanfaatan kecerdasan buatan (AI). Usaha ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan pertindihan sistem, sekali gus mewujudkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berorientasikan pengguna.
Sesi pembentangan telah menyentuh aspek pengukuhan bakat serta keperluan bagi memacu penambahbaikan operasi yang lebih mampan. Selain itu, perbincangan merangkumi pelan hala tuju pemodenan infrastruktur digital universiti serta pembangunan Enterprise Architecture (EA) UTM bagi memastikan ekosistem digital yang lebih efisien dan bersepadu. Cabaran-cabaran semasa yang dihadapi serta cadangan penyelesaian yang proaktif turut diketengahkan bagi memastikan agenda transformasi digital UTM kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Pihak UTMDX menyambut baik aspirasi yang dikongsikan oleh Naib Canselor, yang menjadi dorongan utama untuk terus komited dalam menginovasi penyelesaian lestari. Pertemuan ini mencerminkan iltizam UTMDX untuk menjadi pemangkin kepada transformasi digital universiti, sekali gus memastikan UTM berada di kedudukan yang kompetitif dalam mendepani cabaran transformasi digital global.
Related Articles
UTMDX Semarak Merdeka, Mekarkan Semangat Transformasi Digital
20 Ogos 2026 – Program Semarak Merdeka 2026 turut diserikan dengan simbolik perasmian Bulan Kemerdekaan melalui penanaman pokok bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia, oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital).
UTMDX Perkukuh Kompetensi Pengujian Perisian Melalui Kursus Ujian Prestasi
13 Ogos 2026 – Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX) telah melaksanakan Kursus Ujian Prestasi (Performance Testing) secara dalaman selama tiga (3) hari bertempat di Makmal Penyelidikan Maklumat, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).
Sesi Perkongsian Amalan Transformasi Digital UTMDX UTM Bersama Delegasi UMK
28 Julai 2026 – Pejabat Kualiti dan Transformasi Digital (UTMDX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan delegasi daripada Pusat Transformasi Digital, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi sesi lawatan penanda aras.



