UTMDX Perkukuh Kompetensi Pengujian Perisian Melalui Kursus Ujian Prestasi
13 Ogos 2026 – UTMDX telah selesai melaksanakan Kursus Ujian Prestasi (Performance Testing) secara dalaman selama tiga (3) hari bertempat di Makmal Penyelidikan Maklumat, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS).
Kursus ini disampaikan oleh Ts. Ibrahim Ismail, Ketua Perunding ICT, Malaysian Testing Centre of Excellence (MyTCoE), Jabatan Digital Negara (JDN), dengan penyertaan kakitangan daripada pasukan SQA, Penyelesaian Digital dan Infra Digital UTMDX.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memperkukuh kompetensi teknikal warga UTMDX dalam aspek pengujian bukan fungsian (non-functional testing), khususnya pengujian prestasi bagi memastikan sistem dan aplikasi yang dibangunkan berupaya beroperasi secara stabil, responsif dan boleh dipercayai.

Antara fokus utama kursus adalah untuk membekalkan peserta dengan metodologi serta amalan praktikal dalam melaksanakan pengujian prestasi, termasuk menguji keupayaan sistem mengendalikan jumlah pengguna serentak yang tinggi (high concurrent users) serta mengenal pasti potensi kegagalan atau gangguan sistem ketika waktu puncak.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada kaedah mengenal pasti bottleneck pada peringkat awal, meliputi kelemahan infrastruktur, pelayan (server), pangkalan data dan kod perisian seperti kebocoran memori serta masa tindak balas pangkalan data yang perlahan. Pendekatan ini penting bagi memastikan isu prestasi dapat dikenal pasti dan ditangani sebelum sistem memasuki persekitaran produksi (live).
Kursus ini turut memberi penekanan kepada penjajaran dengan standard dan amalan terbaik Pengujian Perisian Sektor Awam yang digariskan oleh MyTCoE di bawah JDN, sekali gus menyokong usaha UTMDX dalam memperkukuh amalan jaminan kualiti perisian secara lebih sistematik dan berstandard.
Program ini diselaraskan oleh Bahagian Keselamatan Komputer dan Jaminan Kualiti Digital UTMDX sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan kompetensi dalaman serta usaha meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan penyelesaian digital Universiti. Sebagai kesinambungan kepada inisiatif ini, latihan Ujian Fungsian (Functional Testing) akan turut dilaksanakan dan disampaikan oleh pegawai dalaman UTMDX. Pendekatan ini selaras dengan langkah penjimatan Universiti di samping mengoptimumkan kepakaran dan kompetensi dalaman yang dimiliki.
Melalui pelaksanaan latihan secara berterusan dan tersusun, UTMDX komited untuk memperkukuh keupayaan dalaman dalam aspek pengujian dan jaminan kualiti, seterusnya memastikan penyelesaian digital yang dibangunkan memenuhi keperluan dari aspek prestasi, kestabilan, kualiti dan kebolehpercayaan.
Related Articles
UTMDX Perkukuh Sokongan Digital Penyelidikan Melalui Integrasi Sistem UTMLab Bersama PPMU
Selaku peneraju agenda transformasi digital dan inovasi pintar universiti, UTMDX sentiasa komited menyokong ekosistem penyelidikan UTM.
Melalui penganjuran klinik bimbingan ini, para penyelidik diberi pendedahan dan latihan amali sebagai persediaan berikutan pelaksanaan proses perolehan bahan kimia secara bersepadu antara Sistem UTMLab dan Sistem RADIS (Research and Development Information System).
UTMDX Laksana UAT Sistem CCTV dan ANPR Bersama Bahagian Keselamatan
Satu lagi pencapaian penting dilakarkan oleh pasukan teknikal UTMDX apabila fasa User Acceptance Test (UAT) bagi sistem pemantauan CCTV dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR) di pintu masuk utama kampus telah berjaya disempurnakan baru-baru ini.
Fasa pengujian di lapangan ini merupakan proses teknikal yang sangat kritikal bagi UTMDX untuk menilai prestasi operasi yang sebenar.
Pelantikan YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) UTM
Seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YBrs. Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir bin Wan Kadir atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) Universiti Teknologi Malaysia yang baharu.
Pelantikan strategik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UTM dalam menyokong inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).







