Pangsapuri Kangkar Pulai adalah sebuah pangsapuri kos rendah dengan kependudukkan sebanyak enam ratus (600) unit, dengan penghuni seramai dua ribu (2,000) keluarga. Pangsapuri ini mempunyai empat (4) blok iaitu Blok Jentayu, Nuri, Merak dan Kenari.  Pangsapuri Kangkar Pulai telah diperkenan sebagai sebuah projek dalam program CSR, di bawah naungan DYMM Sultan Johor dan DYMM Permaisuri Johor.  Tema program CSR adalah ‘Bangsa Johor Bahagia’.  Program ini merupakan projek usahasama UTM dengan Istana Johor bagi membentuk Bangsa Johor Bahagia yang mempunyai nilai keperibadian bangsa Johor dengan objektif seperti berikut:

 

  1. Mengenal pasti masalah dan keperluan penduduk yang membentuk masyarakat impian bangsa Johor.

 

  1. Merekabentuk cadangan aktiviti dan program masyarakat yang membina keperibadian bangsa Johor.

 

  1. Membangunkan potensi fasiliti serta ruang persekitaran yang menyokong pembentukan keperibadian bangsa Johor.

 

Kumpulan sasar adalah kanak-kanak, remaja, dewasa dan ibu tunggal.  Penekanan program adalah pada masalah sosiologikal, pengurusan fasiliti dan pembangunan fizikal.  Dari segi aspek sosiologikal, ianya meliputi bidang pendidikan, latihan dan kemahiran, sosio ekonomi, nilai etika dan estetika, kesihatan dan sukan serta psikososial.  Selari dengan program di bawah kumpulan sosiologikal ini, penggunaan teknologi dan internat (ICT) dititikberatkan.

Objektif Program ICT;

  1. Mentransformasikan komuniti pangsapuri sebagai Komuniti Bangsa Johor.

 

  1. Meningkatkan kesedaran penggunaan ICT secara beretika.

 

  1. Menjadikan ICT sebagai platform jaringan dan jalinan komunikasi komuniti.

 

  1. Memanfaatkan teknologi digital ke arah peningkatan ekonomi komuniti.

 

Program kali ini ditujukan khas kepada kanak-kanak dan remaja yang berumur dari 9 hingga 20 tahun sahaja.  Hampir 50 peserta dari setiap blok pangsapuri ini telah menyertai program yang dijalankan oleh CICT.  Acara meriah dan berIT ini telah bermula dari jam 9.30 pagi dan berakhir jam 1.00 petang dengan jayanya.