Pada 31 Januari 2021, merupakan tarikh terakhir untuk Puan Zaiton binti Salimon dan Puan Anora binti Mat Emrin berkhidmat di UTM khususnya di UTMDigital kerana mereka bersara pilihan mulai 1 Februari 2021.   Sedikit latar belakang mengenai kedua-dua staf tersebut.

Puan Zaiton mula berkhidmat di UTM Kuala Lumpur pada 11 Disember 1989 sebagai Penolong Pegawai Sistem Maklumat (FA05) secara tetap selepas dilepaskan dengan izin perkhidmatan dari Universiti Pertanian Malaysia (Universiti Putra Malaysia). Beliau telah ditukar sementara ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (FA41) pada 3 Januari 2000 sebelum dilantik ke jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (FA41) pada 22 Disember 2000. Diakhir persaraan beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Teknologi Maklumat (FA48).

Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya, beliau mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang ICT dan telah berjaya membangun dan mengendalikan sistem-sistem. Beliau juga merupakan seorang staf yang amanah, berdedikasi dan bertanggungjawab. Beliau telah menerima Anugerah Staf Cemerlang 2016 – Anakku Shazali dan membentang kertas kerja SERVIS AWAN UTM PEMBUKA REVOLUSI INDUSTRI 4.0 – PERSPEKTIF UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA di Konvensyen Pentadbir UTM pada tahun 2017. 

Puan Anora binti Mat Emrin pula telah berkhidmat di UTM Johor Bahru selama 35 tahun bermula pada tahun 1986 sebagai Operator Komputer (F17). Beliau telah ditempatkan di Unit Mainframe dan tugas beliau pada masa tersebut adalah mengendalikan Sistem Operasi Mainframe untuk kegunaan semua warga kampus staf dan pelajar.

Pada tahun 2001, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan F29 (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat) secara KPSL memandangkan pihak JPA telah menjumudkan jawatan Operator Komputer.  Sejak itu, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai perkhidmatan helpdesk Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatan.

Sepanjang beliau bertugas, beliau telah menerima Anugerah Kepujian Universiti pada tahun 1997, Anugerah Cemerlang Universiti 2015 dan Anugerah Staf Cemerlang CICT 2018.

Pihak UTMDigital mengucapkan Tahniah dan berbanyak terima kasih kepada Puan Zaiton binti Salimon dan Puan Anora binti Mat Emrin di atas segala jasa semasa dalam perkhidmatan di UTMDigital, dan semoga dapat mengecapi kehidupan baru dengan lebih ceria, sihat dan tenang.